“…Dan para malaikat masuk kepada tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkan); keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (QS. Ar-Ra’d [13]:23-24)

Saturday, June 4, 2011

7 Golongan Yang Mendapat Naungan Arasy Allah

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, Dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, Seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”

(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)


HURAIAN HADIS :
Pertama : Pemimpin yang adil.
Adalah pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Nasib rakyatnya adalah terletak di tangannya. Tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak. Keadilan juga merangkumi semua aspek tanpa mengira pangkat, kedudukan atau sebarang kepentingan peribadi dalam menjalankan tugas.

Kedua : Pemuda Yang Kuat Ibadahnya Kerana Allah.
Manakala pemuda yang kuat beribadah adalah menunjukkan betapa di usia sebegini (muda) seseorang itu terpaksa mengharungi berbagai cabaran dan godaan. Terpaksa melawan naluri hati muda untuk bersuka ria kepada lebih mendekati Allah. Oleh itu bagi orang yang berjaya mendidik nafsunya dengan baik dia akan beruntung kerana mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk melakukan kebaikan dan beribadah kepada Allah. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang terjerat dengan pujuk rayu syaitan maka seluruh usia mudanya akan dihabiskan untuk melakukan maksiat dan dosa. Sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

KETIGA : Lelaki Yang Hatinya Terpaut Dengan Masjid
Orang yang berjinak dengan masjid pula sudah tentu mendapat jaminan syurga oleh Allah kerana ia telah menjadi tetamu Allah dan mengimarahkan masjid (rumah) Allah dengan amal ibadat dan ini menjadikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah. Hati mereka sentiasa rindu menanti waktu untuk ke masjid. Setiap aktiviti yang terdapat dimasjid akan cuba dihadiri oleh mereka walau bagaimana keadaan sekalipun, mereka tetap usaha untuk mengimarahkan masjid tersebut. Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

KEEMPAT : 2 Orang Yang Berkasih Sayang Kerana Allah.
Orang yang berkasih sayang kerana Allah merupakan mereka yang mempunyai nilai-nilai yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas dalam menjalinkan hubungan silaturrahim dan ingat mengingatkan tentang kebaikan antara satu dengan yang lain. Kasih atas kebaikan, budi pekerti dan taatnya rakan/saudara kerana Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya. Hubungan yang ikhlas kerana Allah juga akan menimbulkan ketenangan dalam diri dan akan mewujudkan kasih sayang dan hubungan harmoni sesama kita.

KELIMA : Mampu Kawal Diri Dari Tergoda Melakukan Maksiat @ Zina Kerana Takutkan Allah.
Menolak daripada melakukan maksiat apalagi zina merupakan tanda kekuatan iman seseorang yang berjihad melawan nafsunya dan bisikan syaitan yang menggoda. Oleh itu mereka yang berjaya melakukannya adalah orang yang teguh imannya, tidak mudah goyah untuk melakukan sebarang kejahatan. Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya. Apatah lagi sekiranya godaan itu datangnya dari jelitawan yang berkedudukan tinggi, lembut percakapannya.

KEENAM : Sembunyikan Pemberian atau Sedekah Tanda Ikhlas Hati.
Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu. Ramai juga rasa tidak puas sekiranya pemberiannya itu tidak diketahui orang apatah lagi sekiranya sedekah tersebut bernilai tinggi. Lebih mulia disisi Allah sedekah yang kecil dengan hati ikhlas dari sedekah yang banyak tapi dipenuhi rasa sombong dan riya’.

KETUJUH : Orang Yang Beribadah Hingga Mengalir Air Matanya kerana Allah.
Orang yang mencintai Allah S.W.T dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya. Sentiasa gunakan waktu terluang terutama di sepertiga malam untuk berkhalwat dengan Allah(Berdua-duaan) sambil menjadikan Allah sebagai kekasih hati tempat merintih, meminta, mengadu segala hal. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Kesimpulan :
Ketujuh-tujuh amalan ini amat jarang kita lihat terutama dalam masyarakat kita mutakhir ini. Kita sendiri mampu menilai diri kita sejauh mana kedudukan kita disisi Allah dan sejauh mana kita telah usahakan terutama dalam menjadi golongan yang mendapatkan naungan daripada azab sengsara masyar Allah pada Akhirat nanti. Adakah kita telah Berjaya mencapai ketujuh-tujuh darjat seperti dinyatakan tadi atau telah mencapai salah satu dari darjat tersebut untuk melayakkan kita mendapat perlindungan Arasy Allah. Atau mungkin kita tergolong dalam golongan yang amat malang kerana satu pun dari darjat tersebut tidak mampu kita miliki. Sama-samalah kita renungkan dan jadikan iktibar. Mudah-mudahan ia menjadi panduan berguna untuk kita dalam usaha memperbaiki mutu kehidupan kita dalam mencari redho Allah. Sekian Wallahua’lam.

1 comments:

Jammin' Jars Casino - Jammin Jars Casino - JTM Hub
The Jammin Jars 제천 출장안마 Casino is a casino 서귀포 출장샵 with 안동 출장마사지 a beautiful selection of slots, slots, table 부산광역 출장안마 games, bingo and poker. Join now and win a whopping 200 FREE 경주 출장마사지 spins!

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More