Cara yang terbaik untuk mengenali sifat sebenar seseorang ialah dengan memberinya jawatan. Seorang manusia akan menampakkan dirinya yang sebenar apabila memegang sesuatu jawatan. Sama ada bersifat mementingkan diri, suka mengikut pendapat sendiri tanpa berbincang, ataupun bersifat demokrasi,toleransi atau seorang yang bersedia menerima pandangan orang lain.
Satu tafsiran yang salah mengenai kepimpinan yang diperkenalkan oleh seorang pengarang daripada Romania, E.M. Cioran telah menyatakan bahawa,
“Jika seseorang mempunyai rahsia yang mengilhamkan segala rancangan dan tindakannya, rahsia itu sebenarnya adalah ‘Saya mahu disanjung’.“
Tidak hairanlah sekiranya Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan rakyat Mesir akibat kesombongan dan sifatnya yang suka mementingkan diri, merasakan diri ingin disanjung tinggi, sehinggalah selepas beliau dijatuhkan dengan kebangkitan rakyat Mesir, mahkamah telah memerintahkan semua institusi dan perkhidmatan awam yang menggunakan nama Hosni Mubarak atau nama ahli keluarganya ditukar nama. Seorang peguam Samir Sabry yang memfailkan permohonan tersebut mengatakan bahawa,“Mengapa nama mereka perlu dikekalkan? Anda mengambil nama seorang sebagai penghormatan, tetapi kini adakah kita perlu menghormatinya?”
Semasa pemerintahan Hosni Mubarak, beliau telah menjadikan nama beliau sebagai satu simbol kemegahan, seorang pemimpin kononnya yang disanjung rakyat dan digunakan di beberapa tempat awam, seperti jalan raya, perpustakaan, sekolah, persatuan dan beberapa institusi-institusi yang lain.Hasan Omar, hakim yang mengadili kes tersebut menyatakan bahawa,
”Kewujudan nama Mubarak, 82, menyebabkan kerosakan besar dan penderitaan berpanjangan kepada keluarga mangsa pembunuhan pasukan keselamatan Mesir ketika rakyat negara itu bangkit berdemonstrasi menolak kerajaan sebelum ini.”
Menjadi seorang pemimpin bukan untuk disanjung, apatah lagi untuk mendapat pujian. Kepimpinan adalah satu amanah yang berat, hindarilah perasaan berbangga diri apabila berada di atas kerusi yang penuh dengan misi dan matlamat dunia dan akhirat.
Maka berwaspadalah apabila perkara-perkara berikut ada di dalam diri anda:
- Sukar menerima pandangan orang lain.
- Merasakan diri lebih dekat pada Allah dengan memandangan rendah pada orang lain.
- Mudah marah terutamanya apabila terdapat kesalahan yang dilakukan ketika dalam mesyuarat atau perbincangan.
- Suka meninggikan suara daripada orang lain dalam perbincangan.
- Memimpin dengan cara kasar dan keras dengan orang bahawan.
- Memberi arahan tanpa timbang rasa, dan toleransi.
- Sekiranya melakukan kesalahan, sukar untuk meminta maaf dengan orang bawahan.
- Tidak senang dengan kebolehan orang lain dan kejayaan yang dimiliki oleh orang lain.
- Suka apabila nama menjadi sebutan, pantang menerima kritikan dan mahu berubah.
Segala pengorbanan dan usaha yang diperuntukkan dalam pekerjaan akan menjadi sia-sia sekiranya wujudnya unsur-unsur sombong dan suka mengangkat diri sendiri.
Nabi Muhammad seorang pemimpin agung dunia, telah menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud bahawa Nabi Muhammad telah bersabda,
“Tidak masuk syurga siapa saja yang di dalam hatinya ada sedikit kesombongan”
Kemudian seseorang berkata: “(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu senang pakaiannya bagus dan sandalnya bagus”
Baginda menjawab,
“Sesunguhnya Allah itu Indah dan Dia menyenangi keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan melecehkan orang lain” (Hadis Riwayat Muslim)
“Sesunguhnya Allah itu Indah dan Dia menyenangi keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan melecehkan orang lain” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam An-Nawawi menjelas mengenai hadis ini bahawa “Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran“. (Syarah Shahih Muslim 2/269)
Jadilah seorang pemimpin seperti yang diistilahkan sebagai “pemimpin tawadhu”, iaitu menjaga hati dengan rendah diri dalam keadaan yang sama tidak menghinakan diri sendiri. Tunduk serta patuh kepada kebenaran dan menerimanya daripada siapa sekalipun orang yang mengucapkannya. Tidak menganggap diri sendiri berada di atas berbanding orang lain, jawatan merupakan satu amanah yang sangat berat,tundukkanlah hati kepada Alllah dengan sentiasa berzikir dan berfikir meminta petunjuk serta menyandarkan amanah kepimpinan dengan perjuangan agama Allah. Berikut merupakan sifat tawadhu yang ditunjukkan oleh Khalifah Al Rasyidin pemimpin agung Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad:
- Saidina Abu Bakar,632-634 Masihi. Disaat menjadi seorang pemimpin Negara, sering memerah susu untuk keluarga dan juga rakyat jelatanya.
- Saidina Umar Al-Khatab, 634-644 Masihi. Memikul airnya sendiri tanpa meminta bantuan daripada rakyat.
- Saidina Uthman Affan, 644-656 Masihi Kerap tidur di dalam masjid tanpa ada sesiapa yang akan menemaninya, walaupun beliau merupakan seorang pemimpin Negara.
- Saidina Ali Abi Talib, 656-661 Masihi Memakai pakaian yang bertampal di sana-sini,hanya kerana tidak mahu menyalahgunakan duit rakyat.
Menjadi seorang pemimpin yang bersifat sederhana, akan mendapat kepercayaan daripada rakyat, berbanding hidup mewah melebih batasan dengan menyalahgunakan wang rakyat. Sebuah sajak indah yang dikarang oleh Helen Laurie,
Ujian datang dan pergi dalam hidup ini
Mencabar iman dan kesabaran di hati
Sehinggalah aku tersedar pada suatu hari
Hidup yang sederhana lebih diberkati
Satu contoh terbaik ialah dengan melihat sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad,Terdapat sebuah kisah yang diceritakan oleh Anas bin Malik. beliau berkata,
“Ada beberapa orang memanggil Nabi Muhammad sambil berkata,“Wahai Rasulullah, wahai orang yang terbaik dan anak orang yang terbaik di antara kami, wahai junjungan kami dan anak dari junjungan kami.”
Mendengar puji-pujian tersebut, lantas Nabi Muhammad menyanggah dan menjawab, “Wahai sekalian manusia, katakanlah sewajarnya saja! Jangan sampai kamu digelincirkan syaitan. Aku adalah Muhammad hamba Allah dan rasul-Nya. Aku tidak sudi kamu angkat di atas kedudukan yang dianugrahkan Allah Subhannahu wa Ta’ala kepadaku.” (Hadis Riwayat. An-Nasai)
Tawadhu merupakan satu sifat yang sangat mulia dan terpuji, ia bukan sahaja menggambarkan karakter dan personaliti seorang pemimpin itu, malahan ia juga menggambarkan kebersihan hati, dan keagungan jiwa dalam diri seseorang pemimpin itu. Dalam hal ini, Nabi Muhammad menjelaskan bahawa,
“Barangsiapa yang bersikap tawadhu kerana mencari redha Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya. Ia menganggap dirinya tidak berharga, namun dalam pandangan orang lain ia sangat terhormat. Barang siapa yang menyombongkan diri maka Allah akan menghinakannya.Ia menganggap dirinya terhormat, padahal dalam pandangan orang lain ia sangat hina, bahkan lebih hina daripada anjing dan babi” (Hadis Riwayat Al Baihaqi)
sumber: http://www.fikrahislam.com/
0 comments:
Post a Comment