Setiap muslim wajib beradab dengan Rasulullah SAW kerana itu adalah perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Hal itu disebutkan oleh Allah di dalam Surat al-Hujurat ayat 1 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya.”
Ini bermakna sebelum melakukan sesuatu, kita perlu merujuk kepada Allah dan Rasulullah (yakni al-Quran dan al-Sunnah) terlebih dahulu. Sifat seperti ini sentiasa menjadi tabiat sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Pada suatu ketika seorang sahabat lalu di antara dua lembah yang terletak di antara dua bukit. Di situ terdapat kawasan berair yang jernih lagi tawar airnya. Lalu sahabat itu berkata kepada dirinya, “Alangkah baiknya kalau aku dapat tinggal di sini. Tetapi aku tidak boleh berbuat demikian kecuali mendapat keizinan daripada Rasulullah terlebih dahulu.”
Setelah mengetahui perkara itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Jangan sekali-kali kamu berbuat demikian. Sekiranya kamu beribadah selama 60 tahun masih belum sama dengan seorang yang keluar berjihad di jalan Allah SWT.”
Kita perlu beradab dengan Rasulullah SAW dalam semua hal. Hal ini lebih penting lagi terutama kepada seorang pendakwah kerana ia bukan sahaja perlu menjadi seorang yang saleh, bahkan berbuat baik dan mengajak orang lain menjadi baik.
Dalam Surah al-Hujurat ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Rasulullah.”
Ayat itu diturunkan selepas peristiwa Thabit bin Qais bercakap dengan suara yang tinggi di hadapan Rasulullah. Sebaik sahaja turun ayat itu, Thabit berasa bersalah yang amat sangat. Dia tidak keluar daripada rumahnya kerana berasa Allah murka dengannya. Kehilangan Thabit menyebabkan Rasulullah tertanya-tanya mengenainya. Ketika seorang sahabat datang ke rumahnya, Thabit berkata, “Sayalah yang mengangkat suara melebihi suara Nabi. Habis musnah segala amalan saya dan saya termasuk dalam golongan ahli neraka.”
Apabila khabar itu sampai kepadanya, Rasulullah bersabda, “Tidak, dia adalah ahli syurga.”
Adab yang diajarkan oleh Allah SWT itu perlu dipatuhi oleh setiap muslim sekalipun Rasulullah sudah wafat. Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya menerangkan bahawa ‘tidak mengangkat suara’ itu mestilah dipatuhi hatta sewaktu menziarahi masjid Nabi SAW.
Saidina Umar al-Khattab pernah menegur seorang lelaki dari Thaif sewaktu lelaki itu masuk ke dalam masjid Nabi dan mengangkat suaranya. Saidina Umar bertanya, “Engkau dari mana?” Lelaki itu menjawab, “Dari Thaif.” Kata Saidina Umar, “Kalau kamu dari Madinah sudah tentu aku tangan (tampar) kamu tetapi kerana kamu dari Thaif maka aku maafkan.”
Daripada sirah zaman dahulu juga kita dapati Allah SWT menegur orang-orang dahulu (Arab dusun) kerana tidak tahu beradab dengan Rasulullah SAW. Dalam Surah al-Hujurat, ayat 4, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang memanggil engkau di belakang bilik Nabi sedang Nabi masih tidur, kebanyakan mereka tidak menggunakan akal sebaik-baiknya. Kalaulah mereka sabar sehingga engkau keluar itu adalah lebih baik bagi mereka.”
Bagaimanapun sikap sahabat-sahabat yang pernah mengikuti tarbiyah di madrasah Rasulullah SAW sangat berbeza. Jika Rasulullah SAW sedang tidur, mereka tidak akan memanggil baginda kerana mereka tahu Rasulullah tidur lantaran terlalu letih.
Contoh itu dapat kita lihat sewaktu berlaku kematian seorang wanita kulit hitam yang bertugas mengutip sampah di Masjid Nabi. Oleh kerana sudah lama tidak nampak wanita tersebut, Rasulullah SAW pun bertanya mengenainya. Sahabat-sahabat memberitahu bahawa wanita itu sudah meninggal dunia. Rasulullah SAW bertanya, “Kenapa tidak diberitahu kepada aku tentang kematiannya?” Jawab sahabat, “Ya Rasulullah, sebenarnya kami datang untuk memberitahu kepada Rasulullah tetapi kami dapati Rasulullah sedang tidur.
Kami tahu Rasulullah tidur kerana terlalu letih. Sebab itu kami tidak mahu mengganggu.” Rasulullah SAW bersabda, “Tunjukkan aku di manakah kuburnya?” Kemudian Rasulullah SAW bersembahyang dan berdoa untuk wanita itu.
Allah SWT mewajibkan (memfardukan) setiap muslim beradab dan taat kepada Rasulullah SAW dalam semua suasana. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah kasih kepadamu dan mengampunkan dosa kamu....” (Ali Imran: 31)
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul-Nya.” (An-Nisa’: 59)
Allah SWT juga mewajibkan kita mengasihi Nabi-Nya. Hal ini diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:
“Demi nyawa yang diriku berada dalam genggaman-Nya, tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi daripada anaknya, ayahnya dan manusia seluruhnya.”
SIRAH KASIH KEPADA RASULULLAH SAW MELEBIHI YANG LAIN
- Sewaktu Perang Badar, seorang sahabat bernama Sawad datang memeluk Nabi dan menangis bersungguh-sungguh. Melihat keadaan itu Nabi bertanya kenapa dia berbuat demikian. Jawabnya, “Engkau lihat ya Rasulullah apa yang engkau nampak. Aku ingin sekali sebelum mengakhiri hayatku supaya kulitku bersentuh dengan kulitmu sebelum aku balik menemui Allah SWT.”
- Dalam Perang Uhud pula, menjelang akhir hayatnya, Saad ibnu Rabi’ berkata kepada Zaid bin Thabit, “Sampaikan salam aku kepada Rasulullah SAW. Katakanlah kepadanya sesungguhnya aku dapat menghidu bau syurga yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.”
- Seorang wanita Ansar diberitahu mengenai kematian bapa, saudara lelaki serta suaminya dalam Perang Uhud. Apabila berita itu disampaikan kepadanya dia terus bertanya mengenai keadaan Rasulullah SAW. Sahabat memberitahu bahawa Rasulullah SAW dalam keadaan baik dengan katanya,
- “Alhamdulillah, sihat seperti yang kamu kehendaki.” Kemudian wanita itu meminta untuk melihat Rasulullah SAW. Apabila melihat Rasulullah SAW, wanita itu berkata, “Segala musibah yang menimpa aku adalah kecil sedangkan yang besar adalah engkau, ya Rasulullah.”
- Bagaimanakah sifat itu lahir di dalam diri sahabat Rasulullah SAW? Sebenarnya mereka telah mengenal Rasulullah SAW dan mengetahui riwayat hidupnya sejak kecil hingga dewasa. Kemudian mereka mengikuti proses pendidikan di madrasah Rasulullah SAW. Dengan itu Allah mencampakkan rasa kasih sedemikian rupa hingga memenuhi setiap sudut dan ruang di dalam hati mereka.
0 comments:
Post a Comment