“…Dan para malaikat masuk kepada tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkan); keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (QS. Ar-Ra’d [13]:23-24)

Wednesday, February 17, 2010

Islam Sebagai Ad-Deen

ISLAM SEBAGAI AD-DEEN

OBJEKTIF

1. Ahli usrah memehami pengertian Islam dan konsepnya sebagai Ad-Deen.

2. Ahli usrah memahami ciri-ciri Islam serta dapat mengaitkannya dengan kehidupan.

PENGERTIAN ISLAM

Dari segi bahasa Islam bermakna taat, menyerah, damai, aman dan tidak ada kecacatan baik dari segi zahir mahupun batin. Dengan sebab inilah agama ini diberi nama Islam. Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:

"Dan siapakah yang lebih baik Deennya dari orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikut Deen Ibrahim dengan hanaya cenderung kepada Allah." (Surah An-Nisa':125)

Berpandukan kepada ayat ini, Islam diertikan sebagai penyerahan diri kepada Allah dengan keikhlasan hati. Bahkan inilah intipati seluruh makna Islam. Islam dengan makna induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi merangkumi segala kejadian di alam semesta seperti firman Allah:

"Apakah selain dari agama Allah yang mereka masih tercari-cari sedangkan segala yang ada di langit dan di bumi telah Islam (menyerh diri) kepadaNya dengan relah hati dan terpaksa. Dan kepadanyalah mereka dikembalikan." (Surah Aali-Imran:83)

Firman Allah:

"Dan kepada Allah sujud segala yang ada di langit dan bumi dengan rela hati dan terpaksa, dan juga bayang-bayang mereka setiap hari pada tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Ar-Ra'd:15)

Dari kedua-dua ayat ini maka dapat disimpulkan bahawa pengertian Islam tersimpul pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan ketundukan. Oleh itu jelas sekali di antara ketiga-tiganya; Ad-Deen Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi'i.

CIRI-CIRI ISLAM (KHASAIS AL-ISLAM)

Ciri-ciri Islam merupakan satu daripada ciri-ciri keistimewaan Islam yang merupakan titik perbezaan antara Islam dengan agama-agama lain di dunia ini.

Ciri-ciri Islam:

* Rabbaniyyah

Ianya membawa erti bahawa Islam ini datangnya daripada Allah. Manusia hanya sebagai pelaksana segala ketentuan yang telah ditetapkan. Seseorang itu disebut rabbani apabila mempunyai hubungan yang erat dengan Allah.

Sudut Rabbani ini terbahagi kepada dua bahagian:

1. Rabbani dari sudut matlamat dan tujuan.

Ia bererti Islam menjadikan hubungan yang baik dengan Allah dan mendapat keredhaanNya sebagai matlamat terakhir kehidupan. Inilah matlamat hidup insane di dunia ini. Kesemua ajaran Islam baik yang bersangkutan dengan aqidah, muamalah, akhlak dan lain-lain adalah bertujuan untuk menyipakan manusia supaya menjadi hamba kepada Allah semata-mata.

Kesan Rabbaniyyah

a. Mengetahui matlamat hidup manusia di dunia.

b. Mengenal fitrah

c. Selamat dari pertentangan dengan diri sendiri

d. Bebas dari sifat perhambaan ananiyah (keakuan) dan runtunan hawa nafsu

2. Rabbani dari sudut manhaj dan sumber.

Rabbani dari sudut manhaj bererti manhaj ini adalah rabbani kerana bersumberkan kepada wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Sumber ajaran Islam adalah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa kecuali dari sekecil-kecil urusan sampailah kepada sebesar-besar perkara.

Kesan sumber dan manhaj rabbani

a. Islam terhindar dari segala bentuk kekurangan

b. Terhindar dari pengaruh kekayaan

c. Islam sesuai untuk semua manusia

d. Mendapat penghormatan dan kehebatan

* Syumuliyyah

Ia bererti ajaran Islam lengkap dan meyeluruh. Ruang lingkup ajaran Islam adalah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa kecuali dari sekecil-kecil urusan sampailah ke sebesar-besar perkara.

1. Sudut kesyumulan Islam

Islam telah mengemukakan undang-undang kepada manusia untuk mengatur hubungan sesame manusia. Islam telah menjelaskan hukuman-hukuman terhadap mereka yang melanggar hukuman sama ada yang berkaitan dengan sivil atau jenayah seperti hukuman hudud dan qisas (bunuh balas).

Hukum yang bersangkutan dengan urusan hubungan manusia dengan Allah seperti solat, haji, puasa, dan ibadah lain. Hukum-hukum yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia lain seperti hukum nikah, muamalah, kehakiman, hukum berkait dengan pemerintahan Negara, harta dan hukuman denda kepada pesalah yang melakukan kesalahan.

2. Keadilan

Islam telah memeperjuangkan keadilan. Keadilan dalam Islam adalah memberi hak kepada yang berhak tanpa sebarang kekurangan. Keadilan wajib diberikan kepada semua insan baik muslim, musuh Islam atau kawan, ahli keluarga, atau bukan ahli keluarga.

3. Kehakiman

Islam mengemukakan sistem kehakiman. Ini bermaksud bahawa Islam menentukan di dalam hubungan permasalahan sesame manusia kerana manusia sangat memerlukan seorang hakim yang dapat menghukum dan menyelesaikan perselisihan mereka serta dapat mengembalikan hak kepada yang empunya hak.

Islam telah meletakkan bahawa kehakiman merupakan fardhu. Di mana setiap hakim Muslim mestilah menjatuhkan hukuman mengikut yang telah ditentukan oleh Allah.

4. Negara

Dalam soal bernegara, Islam telah menjelaskan hukum-hukum berkenaan persoalan negara. Islam bukanlah terbatas dalam lingkungan hubungan di antara manusia dengan Allah sahaja, malah menyusun hubungan manusia sesame manusia dan hubungan jamaah dengan jamaah lain.

Ketua negara dipilih di kalangan orang-orang Islam sesuai dengan syarat-syarat seperti sifat Quwwah dan Amanah. Peranan ketua negara Islam ialah melaksanakan syariat dan membimbing manusia untuk melakukannya.

5. Akhlak

Islam mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak jelas dengan apa yang digariskan oleh Al-Quran tentang sifat-sifat dan akhlak yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang beriman.

6. Ilmu

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah makrifat dan mengenali hakikat sesuai dengan tepat dan mengetahui sesuatu yang diturunkan oleh Allah, mengetahui tujuan manusia diwujudkan oleh Allah dan kehidupan akhirat yang mengakhiri manusia. Ilmu yang paling tinggi ialah ilmu yang boleh membawa kepada mengenali Allah.

* Alamiyyah

Alamiyyah bermakna sesuai untuk semua orang dan tempat. Islam sesuai untuk orang Arab, Melayu, Cina, India dan juga bangsa-bangsa lain di dunia ini. Ia bukan untuk segolongan atau satu bangsa sahaja. Ia juga sesuai di semua tempat sama ada di Kutub Selatan, Khatulistiwa, dan sebagainya. Ia juga sesuai untuk semua zaman sama ada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam atau zaman teknologi moden yang canggih ini. Sesuai sampai ke hari qiamat.

Islam meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara seperti:

a. Dharuriyyat

Iaitu kehidupan manusia tidak akan wujud dengan ketiadaannya. Perkara-perkara dharuriyyat ini perlu untuk menjaga aqal, agama, jiwa, keturunan, dan harta.

b. Hajiyyat

Iaitu perkara yang diperlukan oleh manusia untuk hidup. Namun manusia hidup tanpa kewujudannya.

c. Tahsiniyyat

Iaitu perkara yang diperlukan oleh manusia untuk hidup dengan lebih mulia. Di mana ketiadaannya tidak menjejaskan kehidupan manusia. Ia lebih mirip kepada unsur kesempurnaan dan kemewahan.

* Waqieyyah

Islam adalah mengikut suasana dan tempat. Contohnya: Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara perlaksanaannya mengikut tempat dan suasana di mana seseorang Muslim itu berada.

* Inqilabiyyah

Menegakkan Islam atas keruntuhan jahiliyyah. Islam tidak boleh bercampur dengan jahiliyyah. Islam juga tidak boleh ditempel-tempelkan pada system jahiliyyah.

* Thabat dan Murunah

Tetap dari segi prinsip dan hukum tetapi anjal atau fleksibel dari segi perlaksanaannya. Sebagai contohnya: Solat adalah wajib dan perlaksanaannya boleh dibuat secara jama dan qasar bagi mereka yang bermusafir. Begitu juga ketika seseorang Muslim itu sedang sakit maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan duduk, baring atau bertelentang mengikut kemampuannya.

KEWAJIPAN MENGHAYATI ISLAM

Islam kini menghadapi cabaran yang sangat hebat, bukan sahaja musuh dari luar tetapi juga musuh dari kalangan ummat Islaam sendiri. Tidak ganjil Islam menghadapi cabaran, kerana memang sejak ia dilahirkan lagi perkara ini telah berlaku. Walau bagaimana pun yang ganjil ialah kerjasama yang dilakukan oleh penganutnya sendiri dengan musuh dari luar laknatullah. Itulah ujian pahit yang dihadapi oleh gerakan Islam dan para Mujahidin di seluruh dunia pada waktu ini. Dikepung dari segenap penjuru oleh musuh. Umat islam berada di dalam kebingungan dengan apa yang sedang berlaku pada waktu ini.

Terdapat di kalangan ummat Islam yang bertanya mengapa terdapat di kalangan ummat Islam yang aktif di medan politik lebih daripada di medan ibadah? Mereka ragu dengan kebangkitan harakah Islamiyyah yang menyeluruh kononnya tiada hubungan dengan pengertian Islam dan organisasinya yang berbentuk sedemikian rupa.

Islam tidak pernah membezakan orang yang beribadat di masjid sambil mengeluarkan air mata yang khusyu dan tawadhu kepada Allah dengan mereka yang mengalirkan dakwat penanya yang menulis kerana Islam, dan juga peluh dan darah yang meleleh dari badan para Mujahid di medan peperangan kerana menegakkan kalimah Allah. Al-Imam Abdullah Bin Al-Mubarak pernah menulis kepada sahabatnya yang beriktikaf dengan meninggalkan tugas berjihad di medan peperangan:

Wahai sahabat yang sedang beribadat di tanah suci, kalau saudara melihat kami, saudara akan tahu bahawa saudara hanya bermain dengan ibadah, siapa yang pipinya berlumuran air mata, maka leher kami berlumuran dengan darah. Kalau kudamu penat di dalam kebatilan makan kuda kami akan penat di medan perang.

Sesungguhnya membezakan orang yang beriktikaf di masjid dan berjuang menegakkan masyarakat dan Negara Islam dengan mangatakan bahawa yang pertama sebagai orang dakwah yang menghayati Islam dan kedua dipanggil orang politik berjuang untuk duniawi, adalah perbezaan yang ditunjukkan oleh musuh Islam dan menunjukkan betapa jahilnya orang Islam yang terpengaruh dengan fahaman sesat ini.

Tidakkah para Rasul merupakan ahli ibadah yang sangat tekun. Di samping itu, berjuang menentang thaghut yang menjadi pemerintah di zaman mereka? Tidakkah Saidina Abu Bakr yang menangis kerana taqwanya itulah yang melancarkan serangan hebat menentang orang murtad yang menentang Negara Islam. Begitulah Islam dikelirukan sehingga terkeluar dari apa yang sepatutnya. Sebenarnya kita memerlukan penjelasan sebagai Ad-Deen dan memahami kewajipan menghayatinya.

Kesimpulannya Islam adalah Ad-Deen (cara hidup) untuk dihayati dan dipraktikkan, bukan hanya sebagai suatu teori yang boleh dicabar dan diuji kebenarannya. Sesungguhnya Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah.

BAHAN RUJUKAN

1. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Ciri-ciri Khusus Islam Kem Motivasi Kepimpinan Islam (Kemis 98)

2. Abdul Majid Aziz Al-Zandani, Tauhid Pendekatan Saintifik Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1992

3. Abu Urwah Risalah Usrah

SOALAN PERBINCANGAN

1. Berikan pengertian Islam seta huraikan konsepnya sebagai Ad-Deen (cara hidup)?

2. Mengapakah Islam itu istimewa berbanding agama lain? (ciri-ciri Islam itu sendiri serta berikan contoh yang praktikal).

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More