Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeda-beda. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Qur'an dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan para ulama mujtahid. Kerana itulah ianya membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi. Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi.
Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok ‘agamawan reformis' atau digelar juga ‘progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut ‘pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat. Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform samada ‘minda tajdid', atau mengemudi ‘bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti ‘kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah', atau ‘mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.
Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok ‘mujaddid palsu' ini ialah bahawa selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Qur'an dan Sunnah; nenek moyang dan ibubapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bid'ah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.
Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ianya dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bid'ah sesat. Bahkan ada hadith dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)
Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya ‘memperbaharui' agama dari perkara-perkara khurafat dan bid'ah sesat, tetapi sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeda pendapat (agree to disagree). Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.
Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulupun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat dari ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dari Rasulullah SAW dan generasi Salaf.
Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "al-haqqu fil masa'il far'iyyah muta'did" iaitu kebenaran dalam perkara ranting (furu') itu berbilang-bilang". Ianya suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat ‘cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama. Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka Insya Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.
Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan Adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis:
Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain" (al-I'tisom 2/191)
Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab. Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan sepertimana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".
Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi ‘bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap ‘bid'ah' paling bahaya yang menentang syariat Islam sepertimana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya "al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid`atin Tuhaddidu al-Shari`at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam). Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (w 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba`ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).
Kita perlu faham bahawa apabila disebut ‘mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Qur'an dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata. Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafi'e seorang diri sahaja, tetapi ianya melibatkan sekumpulan para alima ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.
Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Qur'an, al-Hadith dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu. Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.
Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali samada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun di ceramah-ceramah. Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.
Kesimpulannya, kelemahan para ulama' bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan ‘mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.
Kita harus ingat bahawa kita juga ulama' dan apabila kita ‘mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama' silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita sendiri selaku ulama suatu hari kelak'.
Sumber : Yayasan Sofa, dan Utusan Malaysia @ ikim
0 comments:
Post a Comment